Tuesday, July 28, 2015

SISTEM PENDIDIKAN DI MALAYSIA MASIH RELEVAN ATAUPUN TIDAK?


            Dewasa ini,jika kita prihatin terhadap sistem pendidikan di Malaysia,terlalu banyak kejutan demi kejutan yang berlaku. Namun,tidak ramai yang berani bersuara dalam menegakkan hak kebebasan akademik ini. Kebebasan bersuara dan kebebasan akademik adalah asas kepada pembentukan prinsip akademik. Seseorang pensyarah atau tenaga pengajar seharusnya mempunyai ruang yang bebas untuk mengajar dan membincangkan idea dan fakta,manakala cendekiawan seharusnya mempunyai hak untuk berfikir,berbicara,dan melontarkan persoalan. Hak yang dinyatakan ini seharusnya boleh diamalkan tanpa sebarang ancaman mahupun tekanan kehilangan kerja,penarikan dana,hukuman atau sebagainya.

            Memetik pandangan Dato Saifuddin Abdullah yang menyifatkan bahawa mahasiswa sebagai golongan terpelajar yang mahu peranan mereka diiktiraf dan suara mereka didengar oleh pihak Kerajaan dalam pembangunan Negara. Bahkan,saya ingin menambah bahawa mahasiswa juga mahukan keseriusan pihak Kerajaan dalam melayani pandangan mahasiswa melalui mekanisme yang boleh dilihat,disentuh,dan disertai mahasiswa dalam membuat keputusan,bukan sekadar mendengar tanpa sebarang tindakan. Artikel-artikel atau wacana-wacana berkaitan pendidikan seperti ini sudah banyak ditulis dan disiarkan namun masih lagi tiada sebarang tindakan. Jadi,di mana letaknya slogan Kerajaan yang menguar-uarkan ‘Rakyat didahulukan,pencapaian diutamakan’ jika suara mahasiswa hanya dipandang mudah?

            Banyak dasar yang diperkenalkan bermula daripada sekolah wawasan,kemudian mengajar Sains dan Matematik menggunakan Bahasa Inggeris dan yang terbaru Pelan Pembangunan 2013-2025. Terlalu banyak pelan pembangunan pendidikan dan semuanya pada luaran sistem pendidikan kita nampak bagus, ia diperkukuhkan tetapi masalah  di sebaliknya tidak pernah dibincangkan. Jika kita lihat sistem pendidikan di Negara kita pada hari ini,saya kira ianya sudah tidak relevan. Mengapa?Pelajar-pelajar di sekolah menengah dijadikan bahan ujikaji oleh pihak kerajaan khususnya Kementerian Pelajaran Malaysia  kerana acapkali melaksanakan pembaharuan dalam sistem pendidikan. Pelajar seawal umur 13 tahun telah diperkenalkan dengan sistem Pentaksiran Berasaskan Sekolah yang amat menyusahkan pelajar dan guru-guru. Mahasiswa-mahasiswa di universiti pula diugut dengan pelbagai jenis akta seperti Akta Universiti Kolej Universiti(AUKU), Akta Hasutan, aku janji dalam dokumen PTPTN dan sebagainya. Mahasiswa diikat dengan budaya ketakutan akibat peraturan konservatif yang tidak lagi sesuai dengan suasana maklumat terbuka. Mahasiswa ditekan sehingga menjadi seperti mesin yang sarat dengan ilmu, tapi hanya berfungsi mengikut arahan tuan pemunya.

        Apa jadi dengan Adam Adli, Safwan Anang, Haziq Aziz dan Syahid Zaini, mereka ini digantung pengajian hanya kerana menyuarakan pandangan kepada pemerintah. Mereka menuntut dipulangkan kebebasan akademik dan dimansuhkan AUKU. Lebih menarik apabila mereka semua dihukum selepas pindaan AUKU pada tahun 2012. Ini menunjukkan bahawa pindaan AUKU hanya sebagai medium melepaskan diri pihak kerajaan untuk selamat daripada dituduh memperguna Universiti demi kepentingan politik parti pemerintah. Seksyen yang memberi kelebihan dan keuntungan kepada parti pemerintah dikekalkan namun dalam masa yang sama mereka meminda satu seksyen yang akan memberi manfaat kepada parti pemerintah. Jadi,bagaimana mahu melahirkan mahasiswa yang mempunyai visi insan ummatik.

            Di sebalik semua ‘blue print’ ini kita dapat lihat semua menteri menghantar anak mereka melanjutkan pengajian ke luar Negara,mengapa?Ini menunjukkan krisis keyakinan terhadap sistem pendidikan Negara. Jadi, bagaimana hendak mencari solusi sedangkan mereka sendiri tidak tahu apa yang terjadi terhadap sistem pendidikan tanah air. Baru-baru ini kita digemparkan dengan satu lagi kes di mana semua soalan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah(UPSR) telah bocor dan para pelajar harus menduduki semula peperiksaan tersebut. Di mana silapnya sehinggakan perkara sulit sebegini terjadi dan telah di’viral’kan di media massa. Saya kira kes sebegini  telah  menambahkan lagi rasa tidak percaya masyarakat terhadap sistem pendidikan Negara. Sewajarnya pihak yang bertanggungjawab perlu menangani perkara sebegini dengan lebih serius dan penuh komitmen. Saya tidak mahu bercakap panjang selagi sistem pendidikan tanah air kita masih tidak bebas dan dicengkam oleh kuasa-kuasa politik. Selagi terdapatnya campur tangan kuasa politik untuk memanipulasi sistem pendidikan yang ada pada hari ini,maka selagi itulah kita terus diperbodohkan.

            Saya menyeru kepada pemimpin IPT hari ini untuk sama-sama menggembleng tenaga menuntut sistem pendidikan tanah air kita dipulihkan. Saya suka memetik bicara Dato Dr Siddiq Fadzil dalam buku beliau yang bertajuk Pendidikan Al Hikmah dan Misi Pencerahan yang menekankan konsep “What is important for human being?”. Dr Siddiq juga ada menyifatkan Universiti hari ini lebih gemar membuat Study of Wealth berbanding Study of Men.  Kita tidak mahu melahirkan generasi yang berpelajaran namun tidak berpendidikan.



#http://issuu.com/persatuanpenggerakmahasiswauniselpp/docs/risalah_prihatin_ppmu_2015_edisi_1_


Disediakan Oleh :
Saudari Rabiatul Adawiyah Binti Mohamed Jamil




No comments:

Post a Comment