Wednesday, July 29, 2015

Jamuan Hari Raya Aidilfitri 2015

 



 



 
 

 


Alhamdulillah selesai sudah jamuan Hari Raya 2015 yang telah diadakan pada 28hb Julai 2015 (Selasa) di BT 14, FasBio. Walaupun jamuannya agak sederhana dan pelajar sibuk dengan peperiksaan akhir semester tetapi mereka tetap dapat menghadirkan diri ke jamuan  serta banyak perkongsian yang dilakukan. Terima kasih kepada yang telah menghadirinya.

Perkongsian - "Hidayah Perlu Dicari, Macam Juga Jodoh Dan Rezeki.."


                “Hidayah perlu dicari, macam juga jodoh dan rezeki” hidayah tidak datang bergolek akan tetapi ramai yang cuma menanti hati mereka”dibuka”tanpa sebarang usaha. Ramai yang menanti “seru” hadir tanpa berbuat apa-apa. Seperti yang berkata “aku nak kaya” namun duduk saja goyang kaki tanpa usaha, mana ada harta turun dari langit begitu saja. Sama ada kita sedar atau tidak setiap hari kita memohon hidayah. Setiap hari kita memohon Allah menunjukkan kita kepada jalan yang lurus. Berapa kali kita sebut, baca dan ulang dalam Surah Al-Fatihah (ٱهْدِنَا ٱلصِّرَ ٰط ٱلْمُسْتَقِيمَ – Tunjukilah kami jalan yang lurus). Berapa ramai yang benar-benar fahami dan bersungguh tatkala membacanya.

                Perkara yang paling menakutkan adalah apabila menyedari hakikat bahawa hidayah ini hak milik mutlak Allah SWT Al-llah Ar-Rab yang dianugerahkan kepada sesiapa yang Allah Al-Wahab mahukan. Allah Al-Hakim lebih tahu siapa yang berhak mendapat hidayahnya. Allah Maha mengetahui kerana Allah Al-Alim siapa yang tidak patut memilikinya. Seperti bagaimana Rasulullah SAW sendiri memohon dan berdoa untuk bapa saudaranya. Rasulullah SAW merayu dan memujuk Abu Talib yang telah membantu baginda dengan masa dan tenaganya, dengan menjaga dan memliharanya namun hidayah bukan di tangan kita. Itulah pengajaran yang paling besar, itulah hakikatnya.

                Mufti Ismail Menk mengatakan tempoh hari di dalam kuliahnya, perlu dicari dengan kesungguhan dan kepayahan. Struggle. Dengan keringat perjuangan. “Those who struggle in Allah’s way, the doors of Allah will open in their way” Mereka yang berjuang untuk ke jalan Allah, yang cuba dan berusaha akan dibukakan pintu kearahnya” InsyaAllah dengan izinnya, hidayah akan diberi. Apa dia kesan hidayah? Kesan hidayah ini maka kebaikan akan terasa mudah untuk dilakukan.

                Dapat disimpulkan bagaimana untuk kita terus Istiqamah setelah mendapat hidayah, Semoga Allah yang Maha Pemurah, memberi lebih dan lebih hidayahnya kepada kita. Mustaqim dan Istiqamah asalnya dari perkataan yang sama. Untuk memastikan kita terus kekal Istiqamah dengan hidayah yang telah diberi, agar hidayah itu tidak hilang, lenyap dan sepi kata Mufti Ismail Menk, ada beberapa perkara yang perlu dijadikan panduan.

1.      Pengajaran Pertama - Jangan bimbang pandangan orang lain. Abu Talib ‘takut’ pandangan pembesar Qurasyh yang lain, begitu bimbang mengenai apa yang akan ‘diperkatakan’ setelah dia meninggal, sekiranya dia menjadi seorang Muslim, maka kerana ke’risau’an inilah yang menyebabkan Abu Talib tidak mengucap Syahadah.

2.  Pengajaran Kedua - Sibukkan diri dengan hal sendiri bukan orang lain. Istiqamah mengekalkan hidayah tidak akan berlaku sekiranya kita ‘menyibukkan’ diri menilai orang lain kata Mufti Ismail Menk. Bergosip membuatkan kita sibuk dengan hal dan aib orang lain sehingga terlupa menilai diri. Bergosip dan berkata buruk sudah cukup berdosa, apatah lagi mengaibkan dan memfitnah. Sibukkan diri mengenai hal diri, kekurangan diri, keluarga, anak-anak daripada orang lain. InsyaAllah Allah akan beri kita hidayah.

3.  Pengajaran Ketiga- Hidayah akan kekal sekiranya kita sentiasa i) Beristighfar dan ii) Bertaubat. Beristighfar bererti kita memohon maaf setelah tersedar dan setelah melakukan apa saja dosa dan kesilapan, namun bertaubat bererti kita kembali kepada Allah dengan memalingkan hati dan diri kearahnya. Beristighfar sahaja belum cukup, namun memalingkan diri kembali adalah kunci untuk mendapatkan hidayah, seterusnya mengekalkan hidayah itu. Kita perlu dan mesti sentiasa beristighfar dan bertaubat, Allah memberi Taubah itu sebagai hadiah kepada hambanya, bayangkan jika tiada konsep taubah? Oleh itu saya sering ingatkan diri, jangan berputus asa, teruskan perjuangan dan InsyaAllah Allah akan menunjukkan kita jalan yang lebih baik dari sekarang.

4.   Pengajaran Keempat - Amalan yang berterusan. Lagi dan lagi. Tambah dan tambah amal. Bagaiamana? Dengan mengikhlaskan hati, mencari dan mencari dan mengikut contoh dari Rasulullah SAW

5.   Pengajaran Kelima- Sampaikan kebaikan. Hidayah akan terkesan dan kekal sekiranya kita menjadi agen untuk menyampaikan kebaikan. Konsep Amal ma’ruf nahi mungkar ini dapat mengingatkan diri dan orang lain. Ya, marilah kita sebarkan kebaikan, kasih dan sayang, bukan kebencian, keburukan dan kejahatan! Walaupun sedikit! Sedikit dan sekecil biji sawi sekalipun ianya akan dinilai Allah Al-Hasib.

6.     Pengajaran Keenam – Carilah kawan yang soleh. Pilihlah kawan kita, kawan atau rakan yang akan mengingatkan kita sekiranya kita tergelincir. Rakan dan sahabat yang jujur memberi teguran. Seram sejuk apabila mufti memberikan contoh bagaimana nanti, apabila dibangkitkan kembali, sahabat karib kita akan menjadi musuh, bercakaran sesama sendiri, bertanya kepada kita – “kenapa engkau tidak menasihati aku dulu?” “Engkau tahu apa yang aku lakukan salah, kenapa engkau tidak ingatkan?” Na’zubillah. Mari kita ingatkan rakan kita, dengan penuh hikmah dan kasih.

7.       Pengajaran Ketujuh – Hidayah akan kekal dengan Ilmu. Kita perlukan ilmu untuk berada di atas jalan yang benar. Terus dan terus dan terus tanpa henti menggali ilmu dari sana dan sini. Dari sumber yang sahih lagi dipercayai. Lebih banyak kita tahu lebih banyaklah kita tahu yang kita ini tidak tahu.

*http://issuu.com/persatuanpenggerakmahasiswauniselpp/docs/risalah_prihatin_ppmu_2015_edisi_1_


Disediakan Oleh :
Hazirah Binti Muhammad Rosli
ISM Pendidikan Awal Kanak-Kanak

ISLAMPHOBIA




Pengenalan

Islamophobia merupakan satu terma yang menjurus kepada sifat prajudis terhadap umat islam terutamanya di negara – negara barat. Konsep ini semakin popular selepas beberapa yang telah terjadi dan ia berkaitan dengan Islam seperti contoh peristiwa 11 September 2001 yang telah mengorbankan kira-kira 2996 nyawa diikuti oleh pengeboman di Madrid pada 11 Mac 2004 melibatkan kematian 191 orang dan pengeboman di London pada 7 julai 2005 yang meragut 52 nyawa oleh pengganas yang disyaki Muslim telah memburukkan lagi imej Islam di mata masyarakat dunia. Hal tersebut menunjukkan bagaimana Islamophobia sangat kontroversi di dunia barat terutamanya di Eropah.

Menurut kamus perkataan “phobia” ialah ketakutan, dilema atau kebencian yang teramat manakala dari segi takrifan literal, perkataan Islam berasal dari perkataan arab yang membawa maksud selamat,aman,damai. Maka pengertian Islamphobia ialah kebencian kaum, prejudis dan diskriminasi terhadap Islam. Amanah Runnymede telah mentakrifkan bahawa Islamfobia ialah rasa takut dan benci tehadap Islam kemudian membawanya kepada takut dan tidak menyukai kepada orang-orang Islam. Tambahan itu juga, ia merujuk kepada amalan-amalan mendiskriminasikan orang Islam dari segi ekonomi, sosial dan sebagainya. Bahasa mudah ialah pandangan negatif dan menganggap orang islam sebagai penjahat dan juga pengganas.

Faktor-faktor Islamphobia

Isu Islamphobia berlaku kerana mereka kurang ilmu pengetahuan atau jahil mengenai Islam. Mereka (orang bukan Islam) melihat Islam sebagai pengugat gaya hidup yang bebas. Kebanyakkan mereka hanya mengetahui daripada buah mulut yang tidak sahih. Mereka juga kurang maklumat atau penyelidikan mengenai sesuatu yang terjadi di negara-negara Islam. Maka dari itu, mereka mula menimbulkan rasa benci terhadap Islam.

Tambahan pula, penghijrahan orang Islam ke negara yang majoritinya bukan Islam merupakan antara faktor terjadinya Islamophobia. Faktor kemunduran ekonomi dan masalah kesempitan hidup menyebabkan ramai umat Islam berhijrah ke negara maju. Keadaan seperti ini yang telah menyebabkan banyak persaingan peluang pekerjaan kepada rakyat negara itu dan juga menggugat taraf ekonomi mereka. Terdapat juga segelintir umat Islam yang berhijrah juga telah  melakukan pelbagai jenayah dan tidak menghormati budaya dan peraturan negara itu. Ini adalah antara faktor menyebabkan masyarakat negara itu memandang serong kepada orang Islam dan melihat imej Islam sebagai sesuatu yang negatif.

Selain itu, faktornya dari media massa. Media massa sekarang mempunyai pengaruh yang sangat kuat dan hebat dimana ia boleh membentuk tanggapan atau fikiran masyaraka terhadap sesuatu yang berkaitan dengan Islam. Media sekarang juga banyak dikuasai atau dipegang oleh pihak-pihak yang mendiskriminasikan terhadap Islam. Menurut Elizabeth Poole dalam Ensiklopedia Race dan kajian Etnik, media telah dikritik kerana telah menyalurkan informasi yang tidak sahih berkaitan dengan Islamophobia.

Justeru itu, penyelesaian isu ini perlu dilakukan secara berhikmah. Orang Islam perlu keluar ke hadapan, memperkenalkan kepada masyarakat umum mengenai Islam serta perlu bersuara untuk menjustifikasikan kebenaran yang sebenar supaya kebencian dan kejahilan mereka itu dapat dikalahkan. kita juga sebagai orang Islam hendaklah menyelidik atau memahami sesuatu keadaan bagi mengelakkan berlakunya Islamphobia sebelum menyebarkannya. Penjelasan dan penerangan tentang agama Islam perlu dilakukan supaya pihak yang menyebarkan mengenai Islamophobia ini membuka mata bahawa Islam itu tidaklah seperti apa yang disangkakan.

Kesimpulannya

Islamophobia bukanlah fenomena baru di masa kini. Ia telah lama terjadi semenjak zaman awal perkembangan Islam di mana pada waktu itu Islam dipandang sebagai sesuatu ajaran yang asing bagi penduduk Mekah..


Islamophobia berlaku salah satunya adalah disebabkan oleh agenda kafir untuk menjatuhkan umat Islam. Bukan sahaja untuk memburuk-burukkankan umat Islam dari dipandangan masyarakat bukan Islam, juga untuk melemahkan umat Islam itu sendiri. Ideologi sekular yang ingin memecahkan umat dan melarikan umat Islam jauh dari tanggungjawabnya yang sebenar. Lebih-lebih lagi menjauhkan umat Islam daripada terus bersatu dan melaksanakan Islam secara kaffah.

#http://issuu.com/persatuanpenggerakmahasiswauniselpp/docs/risalah_prihatin_ppmu_2015_edisi_1_


Disediakan Oleh :
Siti Hajar Harnani Binti Ishak
Diploma Pendidikan (Pengajian Islam)




PENGHAYATAN RAMADHAN


Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa

Ayat di atas jelas menegaskan tentang kewajipan berpuasa. Sedar tidak sedar kita sudah masuk ke fasa pertengahan bulan Ramadhan. Namun, bagaimana dengan amalan kita setakat ini?Adakah amalan kita masih sama seperti tahun-tahun sebelumnya?



            Saban tahun apabila sebut sahaja bulan Ramadhan, kita akan berjumpa dengan suasana dan keadaan yang sama sahaja iaitu munculnya pelbagai jenis bazar Rmadhan. Masjid-masjid dan surau-surau pula akan penuh  sesak pada awal puasa namun semakin berkurangan sebaik memasuki minggu-minggu berikutnya. Adat di Malaysia yang kita dapat lihat adalah  kebanyakan ramai orang lebih tidak sabar untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri berbanding menyambut bulan Ramadhan.

        Bulan Ramadhan juga merupakan bulan penurunan Al-Quran. Peristiwa agung dan istimewa dalam  sejarah umat ini yang berlaku  pada 17 Ramadhan  dan disebut juga malam yang diberkati (lailatin mubarakah)  memberi makna terlalu besar kepada seluruh umat. Justeru, kerugian besar bagi mereka yang berpuasa tetapi tidak beriman dan beramal dengan hukum hakam Al-Quran.

            Nabi SAW berpesan di bulan yang penuh barakah  ini setiap amalan sunat diberi ganjaran pahala fardhu manakala setiap amalan fardhu pula diberi ganjaran pahala sebanyak 70 kali ganda. Jika mendengar bacaan Al-Quran sahaja sudah mendapat pahala, apalagi jika kita membacanya sendiri. Sudah semestinya berlipat kali ganda pahala yang diperoleh.

            Semoga kita semua sentiasa diberi kesempatan dalam mendirikan  ibadah puasa di bulan Ramadhan  dan dianugerahkan pelbagai keistimewaan yang dijanjikan oleh Allah seperti ganjaran yang berlipat kali ganda, lailatul qadar dan sebagainya. InsyaAllah. Mari kita berdoa dengan penuh pengharapan kepada pengurnia Ramadhan agar Dia terus memberikan kita kesungguhan dalam melaksanakan ibadah yang hanya diberi setahun sekali sahaja ini.