Wednesday, July 29, 2015

Perkongsian - "Hidayah Perlu Dicari, Macam Juga Jodoh Dan Rezeki.."


                “Hidayah perlu dicari, macam juga jodoh dan rezeki” hidayah tidak datang bergolek akan tetapi ramai yang cuma menanti hati mereka”dibuka”tanpa sebarang usaha. Ramai yang menanti “seru” hadir tanpa berbuat apa-apa. Seperti yang berkata “aku nak kaya” namun duduk saja goyang kaki tanpa usaha, mana ada harta turun dari langit begitu saja. Sama ada kita sedar atau tidak setiap hari kita memohon hidayah. Setiap hari kita memohon Allah menunjukkan kita kepada jalan yang lurus. Berapa kali kita sebut, baca dan ulang dalam Surah Al-Fatihah (ٱهْدِنَا ٱلصِّرَ ٰط ٱلْمُسْتَقِيمَ – Tunjukilah kami jalan yang lurus). Berapa ramai yang benar-benar fahami dan bersungguh tatkala membacanya.

                Perkara yang paling menakutkan adalah apabila menyedari hakikat bahawa hidayah ini hak milik mutlak Allah SWT Al-llah Ar-Rab yang dianugerahkan kepada sesiapa yang Allah Al-Wahab mahukan. Allah Al-Hakim lebih tahu siapa yang berhak mendapat hidayahnya. Allah Maha mengetahui kerana Allah Al-Alim siapa yang tidak patut memilikinya. Seperti bagaimana Rasulullah SAW sendiri memohon dan berdoa untuk bapa saudaranya. Rasulullah SAW merayu dan memujuk Abu Talib yang telah membantu baginda dengan masa dan tenaganya, dengan menjaga dan memliharanya namun hidayah bukan di tangan kita. Itulah pengajaran yang paling besar, itulah hakikatnya.

                Mufti Ismail Menk mengatakan tempoh hari di dalam kuliahnya, perlu dicari dengan kesungguhan dan kepayahan. Struggle. Dengan keringat perjuangan. “Those who struggle in Allah’s way, the doors of Allah will open in their way” Mereka yang berjuang untuk ke jalan Allah, yang cuba dan berusaha akan dibukakan pintu kearahnya” InsyaAllah dengan izinnya, hidayah akan diberi. Apa dia kesan hidayah? Kesan hidayah ini maka kebaikan akan terasa mudah untuk dilakukan.

                Dapat disimpulkan bagaimana untuk kita terus Istiqamah setelah mendapat hidayah, Semoga Allah yang Maha Pemurah, memberi lebih dan lebih hidayahnya kepada kita. Mustaqim dan Istiqamah asalnya dari perkataan yang sama. Untuk memastikan kita terus kekal Istiqamah dengan hidayah yang telah diberi, agar hidayah itu tidak hilang, lenyap dan sepi kata Mufti Ismail Menk, ada beberapa perkara yang perlu dijadikan panduan.

1.      Pengajaran Pertama - Jangan bimbang pandangan orang lain. Abu Talib ‘takut’ pandangan pembesar Qurasyh yang lain, begitu bimbang mengenai apa yang akan ‘diperkatakan’ setelah dia meninggal, sekiranya dia menjadi seorang Muslim, maka kerana ke’risau’an inilah yang menyebabkan Abu Talib tidak mengucap Syahadah.

2.  Pengajaran Kedua - Sibukkan diri dengan hal sendiri bukan orang lain. Istiqamah mengekalkan hidayah tidak akan berlaku sekiranya kita ‘menyibukkan’ diri menilai orang lain kata Mufti Ismail Menk. Bergosip membuatkan kita sibuk dengan hal dan aib orang lain sehingga terlupa menilai diri. Bergosip dan berkata buruk sudah cukup berdosa, apatah lagi mengaibkan dan memfitnah. Sibukkan diri mengenai hal diri, kekurangan diri, keluarga, anak-anak daripada orang lain. InsyaAllah Allah akan beri kita hidayah.

3.  Pengajaran Ketiga- Hidayah akan kekal sekiranya kita sentiasa i) Beristighfar dan ii) Bertaubat. Beristighfar bererti kita memohon maaf setelah tersedar dan setelah melakukan apa saja dosa dan kesilapan, namun bertaubat bererti kita kembali kepada Allah dengan memalingkan hati dan diri kearahnya. Beristighfar sahaja belum cukup, namun memalingkan diri kembali adalah kunci untuk mendapatkan hidayah, seterusnya mengekalkan hidayah itu. Kita perlu dan mesti sentiasa beristighfar dan bertaubat, Allah memberi Taubah itu sebagai hadiah kepada hambanya, bayangkan jika tiada konsep taubah? Oleh itu saya sering ingatkan diri, jangan berputus asa, teruskan perjuangan dan InsyaAllah Allah akan menunjukkan kita jalan yang lebih baik dari sekarang.

4.   Pengajaran Keempat - Amalan yang berterusan. Lagi dan lagi. Tambah dan tambah amal. Bagaiamana? Dengan mengikhlaskan hati, mencari dan mencari dan mengikut contoh dari Rasulullah SAW

5.   Pengajaran Kelima- Sampaikan kebaikan. Hidayah akan terkesan dan kekal sekiranya kita menjadi agen untuk menyampaikan kebaikan. Konsep Amal ma’ruf nahi mungkar ini dapat mengingatkan diri dan orang lain. Ya, marilah kita sebarkan kebaikan, kasih dan sayang, bukan kebencian, keburukan dan kejahatan! Walaupun sedikit! Sedikit dan sekecil biji sawi sekalipun ianya akan dinilai Allah Al-Hasib.

6.     Pengajaran Keenam – Carilah kawan yang soleh. Pilihlah kawan kita, kawan atau rakan yang akan mengingatkan kita sekiranya kita tergelincir. Rakan dan sahabat yang jujur memberi teguran. Seram sejuk apabila mufti memberikan contoh bagaimana nanti, apabila dibangkitkan kembali, sahabat karib kita akan menjadi musuh, bercakaran sesama sendiri, bertanya kepada kita – “kenapa engkau tidak menasihati aku dulu?” “Engkau tahu apa yang aku lakukan salah, kenapa engkau tidak ingatkan?” Na’zubillah. Mari kita ingatkan rakan kita, dengan penuh hikmah dan kasih.

7.       Pengajaran Ketujuh – Hidayah akan kekal dengan Ilmu. Kita perlukan ilmu untuk berada di atas jalan yang benar. Terus dan terus dan terus tanpa henti menggali ilmu dari sana dan sini. Dari sumber yang sahih lagi dipercayai. Lebih banyak kita tahu lebih banyaklah kita tahu yang kita ini tidak tahu.

*http://issuu.com/persatuanpenggerakmahasiswauniselpp/docs/risalah_prihatin_ppmu_2015_edisi_1_


Disediakan Oleh :
Hazirah Binti Muhammad Rosli
ISM Pendidikan Awal Kanak-Kanak

No comments:

Post a Comment