Ibn umar r.a
berkata : Saya telah mendengar Rasulullah S.A.W
bersabda : Setiap orang adalah pemimpin dan akan diminta
dipertanggungjawabkan atas
kepemimpinannnya...
(Hadis
Riwayat Bukhari dan Muslim)
Hadis di atas memang cukup popular
dan banyak menjadi rujukan para pemuda Islam dalam menanamkan jiwa kepemimpinannya.
Kita semua adalah pemimpin dan bahkan seluruh kehidupan kita penuh dengan
kesempatan-kesempatan untuk memimpin. Kepemimpinan tidaklah dikhususkan bagi
segelintir orang yang duduk di peringkat atasan perniagaan,dunia
pemerintahan,dunia politik atau lembaga institusi formal. Peluang-peluang untuk
memimpin pula tidak hanya terbatas di tempat kerja sahaja. Kita adalah pemimpin
dalam setiap hal yang kita lakukan dalam hidup kita dan dalam kerja kita setiap
hari.
Banyak di antara kita yang ingin
menjadi pemimpin tetapi tidak menyedari bahawa untuk memimpin orang lain
seseorang terlebih dahulu berketrampilan dalam memimpin diri sendiri. Mereka
harus pandai mengurus dan mengatur diri sendiri sebelum mengelola dan mengatur
orang lain. Kebanyakan orang juga kagum pada seorang pemimpin tetapi tidak
banyak yang tahu bahawa mereka sendiri,sedar atau tidak sedar,mahu atau tidak
mahu,sengaja atau tidak sengaja pasti pernah berperanan sebagai seorang
pemimpin dalam pelbagai situasi sepanjang kehidupannya. Justeru,setiap orang
harus mempunyai kemampuan untuk memimpin diri sendiri agar dapat menjalankan
peranan masing-masing dengan lancar.
Kita semua pasti pernah dan akan
berperanan sebagai pemimpin sama ada di tempat kerja,keluarga dan masyarakat
namun sebelum memimpin orang lain,kita perlu mempunyai kemampuan memimpin diri
sendiri. Bagaimana caranya?Fahami diri untuk mengenal dengan baik nilai-nilai
yang kita pegang seperti hormat-menghormati,keadilan,kasih sayang,keunggulan
yang perlu dipertahankan ataupun ditingkatkan dan kelemahan yang perlu dibaiki.
Misalnya Bill Gates,sang maharaja bisnes Microsoft. Beliau sedar bahawa dirinya
memang mempunyai banyak pengalaman dan minat yang tinggi dari segi
teknik,tetapi masih kurang pengalaman dari segi bisnes. Justeru itu,beliau
mengangkat orang lain untuk menguruskan bisnesnya sementara beliau tetap fokus
dalam teknologi yang menjadi minat dan bakatnya sejak awal.
Kita juga perlu mempunyai visi dan
misi peribadi agar kita tahu ke mana arah yang harus kita guna untuk memimpin
diri sendiri. Semakin jelas tujuan hidup kita yang ingin diraih,akan menjadi
lebih mudah bagi kita untuk memimpin diri kea rah mencapai tujuan tersebut.
Dalam hal ini,penetapan visi dan misi peribadi menjadi sangat penting. Setelah
mengenal diri sendiri tentu kita juga mengenal mimpi yang ingin kita wujudkan.
Apa yang ingin kita capai dalam hidup ini?Apa yang menarik minat kita untuk
kita perjuangkan dalam hidup ini?Adakah bersesuaian dengan cita-cita yang kita
ingin kejar?Tepuk dada,tanya hati. Hanya kita yang boleh menjawab segala
persoalan tersebut. Seorang ulama besar,Imam Syahid Hasan al-Banna adalah salah
seorang contoh pemimpin yang memiliki visi yang besar dalam hidupnya. Seiring
dengan visi peribadi yang besar beserta karakter yang dibentuk,beliau berjaya
membentuk sebuah kehidupan masyarakat yang beradab. Beliau mengatakan
jadikanlah impian semalan menjadi kenyataan pada hari ini dan jadikanlah impian
hari ini menjadi kenyataan pada esok hari.
Seterusnya adalah mengurus diri
terutamanya dalam menentukan keutamaan mengambil kira aspek waktu. Pemimpin
yang bijak adalah pemimpin yang pandai menguruskan hidupnya dengan teratur.
Jadi,penting bagi seorang pemimpin untuk mendedikasikan waktunya tidak hanya
memahami orang lain tetapi terlebih dahulu adalah untuk memahami diri sendiri.
Antara langkah yang dapat kita ambil dalam mengurus diri yang paling utama
adalah menyusun tindakan-tindakan yang akan kita lakukan dalam skala keutamaan.
Mustahil bagi kita untuk melakukan semua kerja sekaligus. Benjamin Franklin
berkata “if you fail to plan,you plan to fail”. Jadi,perancangan yang rapi
perlu ada dalam setiap pekerjaan. Langkah seterusnya,melaksanakan apa yang sudah
dirancang dan disusun. Dengan adanya tujuan yang jelas,keutamaan yang sudah
disusun,serta perancangan yang matang dengan mengambil kira pelbagai
kemungkinan,kita akan lebih bersedia meraih mimpi.
Sebagai pemimpin kepada diri
sendiri,kita harus memiliki keyakinan dan komitmen yang tinggi untuk meraih
kejayaan yang telah dicita-citakan. Dalam mencapai mimpi,keyakinan dan komitmen
yang tinggi diperlukan untuk tujuan tersebut. Kita akan lebih mudah meyakinkan
orang lain untuk berjuang dengan keyakinan diri yang tinggi. Manakala,komitmen
yang tinggi pula akan menyebabkan kita tidak mudah kalah dengan godaan serta
masalah dan orang lain juga akan lebih percaya kepada kita sebagai pemimpin. Keyakinan
yang teguh serta komitmen yang tinggi perlu selaras dengan usaha memperbaiki
diri ke arah yang lebih baik. Antara elemen yang perlu dititik beratkan adalah
memahami erti kepimpinan dalam diri,menyedari pentingnya pengenalan diri serta
mengetahui cara memimpin diri sendiri yang efektif.
Kesimpulannya,jiwa kepimpinan telah
sedia ada terbentuk dalam diri setiap orang kerana setiap daripada kita adalah
pemimpin kepada diri sendiri. Jadi,tidak ada alasan bagi kita untuk pesimis dan
berkata bahawa kepimpinan hanya dimiliki untuk orang yang telah berbakat sejak
dahulu.
*http://issuu.com/persatuanpenggerakmahasiswauniselpp/docs/risalah_prihatin_ppmu_2015_edisi_1_
Disediakan Oleh :
Saudari Rabiatul Adawiyah Binti Mohamed Jamil
Diploma Pendidikan (Pengajian Islam)
No comments:
Post a Comment