Friday, October 31, 2014

PERUTUSAN AWAL MUHARRAM 1436H : DEMI MASA 24 Oktober 2014 | Jumaat



Segala pujian kepada Allah Pencipta Alam Semesta, selawat dan salam buat junjungan Agung, Nabi Muhammad S.A.W  dan para sahabat. Alhamdulillah, lafaz tahmid memuji atas kurniaan nikmat dan juga kesempatan kita untuk menikmati tahun baru 1436 Hijrah Di sinilah kita akan sematkan cita-cita, agar tahun 1436H ini, menjadi satu kelainan dengan peningkatan dan penambahbaikan dalam diri kita. Baik dari sudut amalan, juga dari sudut akhlak dan perlakuan.

Maal Hijrah atau Awal Muharram pada 24 November 2014 bersamaan dengan 1 Muharram 1436 Hijrah merupakan pembuka kepada tahun Hijrah yang telah membawa pengertian yang sangat besar dan penting  kepada seluruh umat Islam  kerana telah banyak merakamkan peristiwa-peristiwa penting yang perlu kita ketahui agar dengan itu akan menjadi pendorong untuk meningkatkan amalan-amalan kita di bulan ini khasnya dan sepanjang tahun amnya. Terlalu pantas masa berlalu meninggalkan kita dengan sejarah-sejarah Nabi untuk dijadikan sebagai pedoman.

Kepantasan masa kini semakin ketara dengan peningkatan umur kita. Kita sering kali dikejar-kejarkan sepanjang masa dari pagi sehingga ke petang dan kadang-kadang sehingga ke malam. Apakah dunia berpusing dengan lebih pantas sekarang ini?.
Penciptaan alam dan segala isinya termasuklah bumi dan segala cakerawala yang kita duduki ini berlaku dengan amat terperinci sekali. Allah telah menjadikan segala kejadian dan ciptaan alam sentiasa tunduk kepada-Nya.

Begitulah Maha Hebat-Nya perancangan dan ciptaan Allah Taala yang sungguh terperinci. Jadi jelas di sini bahawa bumi tetap mengikuti rentaknya seperti biasa dan masa 24 jam sehari tetap masih sama seperti dulu juga. Habis kenapa masa kini berlalu begitu pantas?
Sebenarnya masa sentiasa cukup iaitu sebanyak 24 jam sehari, cuma perkara yang kita ingin laksanakan dalam tempoh 24 jam tersebut sahaja yang semakin bertambah.
Kita terlalu mementingkan dunia di dalam diri kita sendiri sehingga menjadikan wujudnya dua jenis jam di dalam alam ini. Satu yang nyata yang berdetik pada jam tangan kita dan satu lagi yang berdetik di dalam minda kita sendiri.

Ayuh kita renungi masa lalu yang telah kita sia-siakan. Kita sudah berumur berapa tahun? Sudah berapa banyak masa berlalu? Apakah yang kita telah lakukan sepanjang kehidupan kita? Apakah waktu-waktu yang telah berjalan itu boleh kita undur? Tidak.
Maka kita sepatutnya menyoal diri kita. Berapa banyak lagi kita mahu masa berlalu?
Tidakkah cukup surat cinta Illahi sebagai peringatan?

“Demi masa, sesungguhnya manusia itu dalam kerugian.”
Surah Al-’Asr ayat 1-2.

Tetapi siapakah yang Allah nyatakan tidak tergolong dalam kalangan yang rugi itu?

“Kecuali mereka yang telah beriman dan beramal soleh. Yang telah berpesan-pesan ke arah kebenaran, dan yang telah berpesan-pesan ke arah kesabaran.” 
Surah Al-’Asr ayat 3.

Maka apakah kita telah menetapkan diri kita dengan apakah kita hendak mengisi masa-masa kita? Atau kita sekadar hendak terus mempersia-siakannya?

Maka di sinilah Allah SWT telah memberikan peluang. Dia telah memberikan hari baru kepada kita. Tahun baru kepada kita. Mengapa kita masih lagi menjadi yang tidak bersyukur dengan membazirkannya? Mengapa kita tidak menjadi yang menggunakan peluang ini dengan sebaiknya?
 Tiada istilah ‘terlambat’ di dalam perubahan. Di sinilah kita bermula. Sedarkan diri. Marilah kita mula merancang untuk kebangkitan. Bukan semata-mata bersemangat untuk bangkit,tetapi mestilah diiringi dengan usaha yang berterusan. Apakah sasaran anda untuk bulan pertama? Apakah sasaran yang hendak dicapai pada bulan kedua? Tahun ini apa azam kita dan apa perancangan untuk mencapai azam tersebut? Kita susun, kita rancang, kita laksana!


HIDUP BIAR BERJASA


SITI HAJAR HARNANI BT ISHAK
Timbalan Presiden
Persatuan Penggerak Mahasiswa Unisel (PPMU)


No comments:

Post a Comment