Monday, October 5, 2009

Ilmuan Munafik Menyesatkan Akidah

Oleh Yussamir Yusof

Umat Islam digalak sentiasa menimba ilmu untuk dunia, akhirat BUKAN mudah untuk menjadi orang berilmu, namun tidak sukar juga untuk mendalami ilmu pengetahuan sehingga menjadi ilmuwan. Ia bergantung kepada diri sendiri, dalam masa yang sama di atas takdir Allah. Firman Allah: "Allah akan meninggikan orang yang beriman di antaramu dan orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa darjat." (Surah al-Mujadilah: 11)

Menjadi seorang berilmu adalah sebuah penghormatan dan kemuliaan. Banyak hadis dan firman Allah yang menggambarkan betapa tingginya darjat orang yang berilmu. Firman Allah: "Dan tidaklah sama orang yang buta dengan orang yang melihat dan tidak (pula) sama gelap gelita dengan cahaya, dan tidak (pula) sama yang teduh dengan yang panas." (Surah al-Fathir: 19-21) Ayat di atas Allah menggambarkan orang yang berilmu seperti seorang yang celik matanya, manakala orang yang jahil seperti seorang yang buta matanya. Sungguh tinggi perumpamaan yang digambarkan Allah terhadap orang yang berilmu.


Hakikat kemuliaan dan tingginya darjat orang yang berilmu dikukuhkan lagi dengan sabda Rasulullah SAW. Sabda Baginda: "Barang siapa yang menempuh satu jalan untuk mencari ilmu, maka Allah akan permudahkannya untuk masuk syurga. Malaikat akan mengepakkan sayapnya ke atas pencari ilmu, kerana mereka suka dengan apa yang dilakukannya." Orang yang berilmu diminta ampun oleh semua yang ada di langit dan di bumi, bahkan ikan di air juga turut serta memohon ampun untuknya. Keutamaan orang yang alim atas ahli ibadat seperti keutamaan bulan di atas bintang. Ulama adalah pewaris nabi, dan nabi tidak mewariskan dinar dan dirham. Mereka hanya mewariskan ilmu. Sehingga orang yang mengambilnya benar-benar mengambil bahagian yang sempurna (Hadis Imam Bukhari). Al-Imam Ghazali ketika membaca hadis itu menjelaskan: "Sudah maklum, tidak ada darjat di atas darjat kenabian dan tidak ada kemuliaan di atas kemuliaan mewarisi darjat itu."


Ibnu Mubarak pula hairan apabila tidak ramai yang menuntut ilmu, kerana katanya hanya dengan ilmu barulah kemuliaan akan hadir pada diri seseorang. Namun masalah ujub (bongkak) dan tidak mengamalkan ilmu yang ada semakin lama semakin membarah di kalangan penuntut ilmu. Sungguh ramai penuntut ilmu mula mencari ilmu untuk kemegahan dan keuntungan dunia. Ada juga sebahagian daripada mereka mencari ilmu semata-mata untuk berdebat dan menguji ulama yang ada.
Kegusaran Nabi Muhammad terhadap hal ini sememangnya diduga ketika Baginda masih hidup lagi. Oleh sebab itu Rasulullah pernah memberi amaran kepada penuntut ilmu mengenai hal ini. Sabda Rasulullah SAW: "Jangan mempelajari ilmu untuk menyombong diri pada ulama, berbangga dengan orang yang jahil, serta memilih majlis. Sesungguhnya barang siapa yang melakukan hal itu dia akan masuk ke dalam neraka." (Hadis Ibn Hibban dengan perawi yang dipercayai lagi sahih, demikian terang Syu'aib al-Arna'uth dalam semakan ke atas Sahih Ibn Hibban).
Begitu juga dengan sesiapa yang menuntut ilmu dengan niat ingin mendapat keuntungan dunia. Rasulullah memberi amaran keras terhadap golongan ini. Sabda Rasulullah SAW: "Seharusnya seseorang yang mempelajari sesuatu ilmu adalah untuk mendapat keredaan Allah, namun jika dia mempelajarinya adalah kerana untuk memperoleh kesenangan dunia, maka dia tidak akan mencium bau syurga pada Hari Kiamat." (Hadis Ibn Hibban).
Oleh sebab niat yang tidak jujur dan ikhlas menuntut ilmu kerana Allah, membuatkan ilmu yang ada hanya setakat lidah tanpa ada pengamalan. Sedangkan ilmu itu haruslah disusuli dengan amalan, kerana ilmu adalah imam dan amal adalah makmum.
Yusuf al-Qardhawi dalam bukunya, Tafsir Fiqh as-Suluq fi Dhau al-Quran wa as-Sunnah menulis: "Sesungguhnya musibah terburuk yang menimpa kehidupan dan menerpa umat manusia adalah orang alim yang perkataannya bertentangan dengan perbuatannya, dan perbuatannya mendustakan perkataannya. Orang alim seperti ini adalah bencana untuk hamba Allah. Dan tindakannya itu adalah tindakan yang diperingatkan al-Quran kepada orang beriman. Firman Allah, "Amat besar kebencian di sisi Allah bahawa kamu mengatakan apa-apa yang tidak kamu kerjakan." (Surah al-Shaff :3)
Maka tidak aneh apabila Rasulullah meminta perlindungan Allah daripada ilmu tidak bermanfaat. Zaid bin Arqam meriwayatkan bahawa Rasulullah bersabda: "Ya Allah aku berlindung kepada-Mu daripada ilmu yang tidak bermanfaat, hati yang tidak khusyuk, jiwa yang tidak puas serta doa yang tidak dikabulkan." (Hadis Ibn Majah)
Sungguh hina dan azab kepada orang yang berilmu tetapi tidak beramal dengan ilmunya. Ketika Rasulullah menceritakan kepada sahabat bagaimana seksaan yang diterima oleh golongan berilmu tetapi tidak memanfaatkannya. Zaid bin Arqam meriwayatkannya dengan berkata, "Saya mendengar Rasulullah bersabda: Pada Hari Kiamat seseorang didatangkan dan dilemparkan ke dalam neraka. Kemudian ususnya terburai dan dia akan dipusing-pusingkan seperti keldai yang memusingkan alat giling.
Penghuni neraka berkumpul dan bertanya kepada orang terbabit: "Fulan, apa yang terjadi denganmu? Bukankah dulu kau mengajak kepada yang makruf dan melarang perkara yang mungkar? Dia pun menjawab, "Dulu aku memang mengajak kepada perkara yang makruf namun aku sendiri tidak mengamalkannya. Dan aku melarang yang mungkar, tetapi aku sendiri melakukannya." (Hadis Imam Bukhari).
Golongan berilmu ini boleh juga dikira sebagai seorang munafik. Kerana orang munafik lahiriahnya bagus tetapi dalamannya rosak. Lidahnya manis menuturkan kata-kata hikmah namun amalannya pahit. Mereka memperdayakan manusia dengan ilmu yang ada, padahal hatinya kosong dari keyakinan iman dan Islam. Golongan ilmuwan sebegini adalah munafik yang alim lisannya.
Bahaya munafik yang alim lisannya ini diberi ingatan oleh Rasulullah seperti yang diriwayatkan Umran bin Hushain. Sabda Baginda: "Sesungguhnya sesuatu yang paling aku risaukan sepeninggalanku terhadapmu ialah setiap orang munafik yang alim lidahnya." (Hadis dicatatkan Imam Tabrani).
Berhati-hatilah dengan golongan ilmuwan sebegini. Sentiasalah berdoa agar di kalangan kita tidak akan wujud golongan seperti ini. Moga peringatan Saidina Umar al-Khatab ini menjadi nasihat dan peringatan sekali gus kepada kita semua. Kata beliau: "Berhati-hatilah, kerana Rasulullah SAW menyuruh kita berhati-hati terhadap setiap orang munafik yang alim lisannya."


Ruangan Agama

Berita Harian 5 Oktober 2009

No comments:

Post a Comment