Pembangunan Sabah, Sarawak perlu seiring Semenanjung
SUATU ketika dulu, rakyat dari Semenanjung perlu mengisi borang khas apabila sampai di lapangan terbang di Sabah dan Sarawak. Bagi generasi muda, mereka hairan mengapa mereka perlu mengisi borang itu dan melalui pemeriksaan imigresen, sedangkan mereka rakyat Malaysia dan bukannya rakyat asing.
Beberapa hari lalu, Timbalan Presiden Parti Liberal Demokratik (LDP), Chin Su Phin dari Sabah mengesyorkan agar mereka dari Semenanjung dibenarkan secara bebas untuk menetap, bekerja dan menjalankan perniagaan di Sabah, sama seperti mereka dari Sabah dan Sarawak dilayan di Semenanjung. Namun, cadangan itu segera ditangkis pemimpin lain, termasuk Parti Bersatu Sabah (PBS).
Perjanjian Malaysia yang termaktub di bawah perkara 165 Perlembagaan Persekutuan turut memasukkan tuntutan Sabah yang kemudian diikuti Sarawak. Antara 20 perkara itu berkaitan agama, bahasa, kewangan, hak Bumiputera Sabah dan Sarawak dan imigresen. Justeru, kedua-dua negeri itu mahu terus mempertahankan hak di bawah Perjanjian 20 perkara itu dan tidak mahu ia terhakis atas nama 1Malaysia.
Hak berkenaan perlu dihormati dan tidak harus menjadi duri dalam daging dalam konteks hubungan negeri dengan Pusat. Dalam pada itu, jika pemimpin di kedua-dua negeri itu terlalu menekankan kepentingan dan hak kenegerian atas nama 20 perkara, tanpa mempedulikan agenda nasional yang lebih besar, maka tindakan ini boleh memberi implikasi dan kesan terhadap hubungan negeri dengan Pusat.
Hubungan stabil antara kedua-dua negeri dengan Kerajaan Pusat amat penting bagi memastikan konsep 1Malaysia menjadi lebih bermakna. Apatah lagi, jika diambil kira sumbangan besar kedua-dua negeri berkenaan bagi memastikan pengekalan kuasa politik Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum Ke-12 pada 8 Mac tahun lalu.
Maka, peruntukan yang lebih besar, khususnya untuk pembangunan luar bandar perlu disalurkan ke Sabah dan Sarawak bagi menghargai sokongan padu penduduk di kedua-dua negeri itu. Apakah yang sudah kita capai sejak Malaysia ditubuhkan 46 tahun lalu?
Adakah rakyat Malaysia sudah benar-benar mengenali dua negeri terbabit dari segi demografi, adat resam, politik dan seumpamanya? Bilakah agaknya Sabah dan Sarawak dapat berdiri sama tinggi dengan keadaan dan kemajuan di Semenanjung? Benarkah kedua-dua negeri ini 20 tahun di belakang, terutama kawasan luar bandar? Bagaimanakah agaknya keadaan dan kemajuan di kedua-dua negeri ini jika rakyat dan pemimpinnya mengambil keputusan untuk tidak menyertai Persekutuan Malaysia dulu?
Justeru, generasi kini perlu berterima kasih kepada pemimpin seperti Tun Datu Mustapha Harun, Datuk Fuad Stephens, Tun Ahmad Zaidi Adruce, Tun Abang Salahuddin, Tun Jugah anak Barieng, Tun Abdul Rahman Yaakub, Datuk Abang Mustapha dan beberapa lagi. Jasa dan sumbangan anggota Suruhanjaya Cobbold yang diterajui Lord Cobbold tidak harus dilupai sehingga akhirnya sebahagian besar penduduk di kedua-dua negeri bersetuju untuk menyertai Malaysia.
Tokoh berkenaanlah yang mengharungi pelbagai cabaran dan pengalaman, termasuk terpaksa pergi ke kawasan pedalaman. Sebenarnya, seawal 1887 lagi, seorang Pengarah British North Borneo Chartered Company, Lord Brassey mencadangkan penyatuan wilayah Borneo dengan Negeri Selat dan Negeri-Negeri Melayu Bersekutu kepada pihak Britain bagi membentuk sebuah tanah jajahan yang besar.
Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman Putra sudah menyampaikan ucapan mengenai gagasan itu di Kuala Lumpur selama lebih sejam pada 1961. Beliau menjawab pelbagai kemusykilan, selain cuba meyakinkan wakil rakyat Perikatan dan pemimpin kedua-dua negeri itu bahawa gagasan berkenaan akan membawa kebaikan untuk semua.
Perbahasan mengenai gagasan itu yang turut diikuti pemimpin pelbagai kaum di Sarawak, mengambil masa tiga hari. Dalam hubungan ini, memoir Tan Sri Ghazali Shafie (kini Tun) mengenai penubuhan Malaysia, termasuk sebagai anggota Suruhanjaya Cobbold perlu ditelaah oleh generasi muda.
Justeru, segala langkah perlu diambil untuk memastikan impian Tunku Abdul Rahman terus dapat dimantapkan. Selain integrasi ekonomi, kebudayaan, sosial, pendidikan, dan politik, integrasi wilayah perlu terus diperkukuh. Tidak harus wujud jurang pemisah antara penduduk di Semenanjung dengan Sabah dan Sarawak.
Integrasi penting bagi memastikan bahawa kita bukan saja dapat mewujudkan identiti nasional dalam kalangan pelbagai negeri, malah yang lebih penting rakyat Malaysia di pelbagai wilayah dan negeri mempunyai semangat kekitaan padu. Segala tembok pemisah yang boleh menimbulkan prasangka, stereotaip dan semangat etnosentrisme hendaklah diruntuhkan.
Sesungguhnya, ketika kita meraikan hari kemerdekaan setiap tahun, kita tidak harus lupa akan tarikh 16 September. Tarikh ini tidak harus hanya dikaitkan dengan kegagalan pemimpin pembangkang untuk mengambil alih kerajaan pada tahun lalu.
Tarikh ini juga sama penting dengan tarikh negara kita mencapai kemerdekaan 52 tahun lalu. Tarikh ini perlu diraikan dengan lebih bermakna dengan menganjurkan acara yang mampu meningkatkan semangat perpaduan, patriotisme dan kekitaan kental, selari dengan gagasan 1Malaysia. Dengan itu, rakyat Malaysia dari Perlis hingga ke Sabah akan merasai bahawa sesungguhnya mereka bernaung di bawah bumbung negara yang sama.
Dr Jeniri Amir
Penulis ialah pensyarah kanan di Universiti Malaysia Sarawak (Unimas)
No comments:
Post a Comment