Thursday, June 19, 2014


UCAPAN DASAR SEMPENA MUKTAMAR SANAWI PPMU KALI KE – 5
OLEH : MOHAMAD AZHAARI SHAH BIN SULAIMAN
BACHELOR OF EDUCATION (HONS) TESL

Muktamirin dan muktamirat sekalian!

Dalam kesempatan ini kita elok rasanya kita memperingatkan kembali diri masing-masing tentang hakikat gerakan dakwah, islah dan tajdid yang sama-sama kita perjuangkan sejak 5 tahun penubuhan PPMU. Perlu memperingatkan kembali bahawa sesungguhnya gerakan ini bukanlah satu usaha kecil yang boleh dilaksanakan secara sambil lewa sahaja. Gerakan ini  sebenarnya merupakan suatu usaha kerja yang menyeluruh. Matlamat yang ingin dicapai juga jauh berbeza daripada perjuangan-perjuangan yang biasa diusahakan oleh pelbagai pihak yang lain. Ia tidak berakhir dengan penguasaan tampuk pemerintahan, peningkatan taraf ekonomi rakyat, keamanan negara, kestabilan situasi sosial dan sebagainya. Perjuangan ini berhasrat untuk mengadakan perubahan total terhadap semua aspek kehidupan manusia yang tersasar daripada landasan kebenaran atau al-sirat al-mustaqim dan mengembalikannya semula ke jalan tersebut menerusi pelaksanaan misi suci iaitu ‘ubudiiyyah (pengabdian kepada Allah SWT), melakukan kebajikan kepada sesama makhluk dan berjihad fi sabilillah.

UNIVERSITI DAN KITA.

Universiti yang berasal daripada frasa bahasa Latin, iaitu universitas magistrorum et scholarium yang bermaksud "masyarakat pakar dan pengkaji"; sememangnya tidak boleh kita pisahkan dengan iklim budaya ilmu. Ternyata ianya memang benar, kerana jika difahami dengan baik peranan sebenar institusi yang dikenali sebagai universiti ini, pastinya setiap tindakan itu bijak dan saling berkait rapat dengan prinsip budaya ilmu. Prinsip ini selaras dengan agama Islam yang amat mementingkan akan perihal ilmu. Maka dengan itu, universiti seharusnya berperanan dalam mewujudkan iklim budaya ilmu di peringkat kampus. Prof Wan Mohd Nor Wan Daud dalam karyanya Penjelasan Budaya Ilmu juga telah mentafsirkan akan definisi budaya ilmu dengan jelas di mana budaya ilmu antara lainnya adalah kewujudan satu keadaan yang setiap lapisan masyarakat melibatkan diri, baik secara langsung mahupun tidak langsung. Beliau juga turut memperihalkan bahawasanya budaya ilmu adalah merujuk kepada kewujudan satu keadaan yang segala tindakan manusia baik di tahap indidvidu, apatah lagi di peringkat masharakat, diputuskan dan dilaksanakan berdasarkan kepada ilmu pengetahuan sama ada melalui pengkajian mahupun keputusan perbincangan (syura).

UNIVERSITI SEBAGAI RUMAH PENYEMBELIHAN

Namun kemandulan berakibat dari campur tangan politik dan penumpuan melampau graduan bagi mencari kerja dan mengejar kerjaya yang diidami, universiti di Malaysia mengalami sindrom “mandul”; yang menyebabkan gagal melahirkan intelek yang berupaya membimbing masyarakat dan memperjuangkan nasib golongan tertindas.

Kemandulan universiti tempatan adalah disebabkan pemerintah menyemai budaya takut dan budaya ‘bodek’ di kalangan masyarakat meliputi golongan mahasiswa atau pensyarah melalui ugutan, tekanan dan sebagainya.

Budaya takut dan bodek menyebabkan ahli akademik termasuk mahasiswa hilang keberanian, jati diri dan kebolehan berfikir secara kritis dan progresif.

Apabila sudah takut, wujud pula “pembonsaian pemikiran” melalui program brainwashing. Bila pemikiran mahasiswa dibonsaikan menjadi “ketot” maka berlaku insiden “listen, listen, listen, when I speak you listen”.

Ini bukan saja ‘pembonsaian’, ini pemerkosaan pemikiran mahasiswa. Izinkan saya memetik kata-kata Syed Naguib al-Attas yang menegur sikap universiti di Malaysia kerana sekadar menjadi sebuah kilang menghasilkan graduan mengikut kehendak pasaran semata-mata sehingga akhirnya, graduan yang terhasil menjadi bisu dan hanya terpendam dalam sektor pekerjaan masing-masing.

Tika universiti hilang roh yang sepatutnya menjadi medan ilmu, ia tidak lagi dapat memainkan peranannya, menyebabkan menyusul pula budaya ‘bebalisme’ iaitu manusia yang bebal, tidak boleh selesaikan masalah tetapi pandai mengampu sehingga menjadi masalah kepada orang lain.

“Kesan “bebalisme” akan merosakkan keseimbangan masyarakat, mewujudkan jurang kelas yang besar dan menularnya gejala rasuah, salah guna kuasa dan sebagainya. Maka wajarlah jika Sayyid Abul 'Ala Maududi (1903-1979 memberikan ucapannya kepada kaum mahasiswa, beliau melihat universiti sebagai 'rumah penyembelihan' yang mencetak segulung 'sijil kematian'.

"Wahai Pelajar! Kamu telah melabur sekian lama masa kamu di universiti ini untuk mendapat pendidikan. Kamu telah lama menunggu saat di mana kamu akan menuai hasil usaha kamu itu dalam bentuk segulung ijazah. Aku merasai betapa tersentuhnya jiwa kamu dalam majlis sebegini, maka menjadi satu kesukaran buat aku berterus-terang kepada kamu pada saat ini.

Walaubagaimanapun aku perlu berlaku jujur, bahawa dalam menilai tempat kau dididik ini, malah kesemua tempat pendidikan yang bernama universiti ini tidak ubah seperti tempat penyembelihan berbanding tempat pendidikan. Ijazah yang dihulurkan tidak ubah seperti sijil kematian, diberikan apabila si pembunuh sudah berpuas hati kerana telah berjaya menyempurnakan penyembelihannya; alangkah bertuahnya kepada mereka yang telah berjaya melarikan diri daripada penyembelihan terancang ini dengan sedikit cahaya kehidupan.

Aku tidak hadir ke sini untuk mengucapkan tahniah kepada kamu kerana telah menerima sijil kematian tersebut. Malah sebaliknya, aku berasa teramat sedih melihat kamu semua dalam keadaan yang teruk. Aku seperti seseorang yang sedang mencari manusia yang masih hidup dalam timbunan mayat di sini."

Ungkapan yang tajam dan tersirat di atas merupakan salah satu ekspresi diri beliau terhadap realiti sistem pendidikan yang telah tumbuh seperti cendawan selepas hujan semenjak zaman kolonial hinggalah ke hari ini. Kenapa begitu teruk sekali pandangan beliau terhadap universiti? Adakah pengorbanan mahasiswa tidak bererti dalam menimba ilmu? Persoalan ini akan terjawab jikalau kita bersikap kritikal dalam menilai sejarah dan impak yang tersirat didalam masyarakat. Memang benar. Universiti telah menjadi pusat penyembelihan kepada anak-anak muda yang suci pemikirannya. Disinilah mereka dikelar mindanya, dipatahkan tulang kesedarannya dan digantung maruah mereka selaku pengubah masyarakat. Para penyembelih yang terdiri daripada golongan aristokrat pendidikan telah mengupah manusia-manusia yang kelu untuk menyiat potensi minda perjuangan anak-anak muda ini. Diasingkan daripada realiti dan diangkat menjadi fantasi. Itulah keadaan sebenar pada hari ini.

Golongan mahasiswa sudah dicincang dengan lumat sehingga tidak dapat dikenali lagi sebagai seorang 'insan' yang berguna pada rakyatnya. Terkurung daripada cahaya kebenaran, mahasiswa akhirnya dibutakan dengan lambakkan makanan berupa sampah untuk dibuntalkan perut minda mereka agar tidak ada apa lagi yang perlu dipersoalkan. Akhirnya, kegemukkan minda menghasilkan sifat kemalasan dan kepekaan kepada sekeliling menjadi pudar. Buta hati mula melingkar menusuk kalbu. Itulah mahasiswa. Hanyalah haiwan sembelihan buat golongan kapitalis yang menyedut darah merah yang segar daripada otak beku mereka.Selagi mana golongan mahasiswa terpisah dengan realiti masyarakat, kehidupan yang sempit didalam kampus hanya mampu menjadikan mereka daging pejal buat golongan kapitalis yang saban hari menyediakan hidangan daging mentah buat umat manusia. Mungkin, inilah yang ingin cuba disampaikan oleh Pejuang Islam ini. Pendidikan warisan penjajah yang membunuh.


Mahasiswa perlu berdikari dan mempunyai iltizam yang tinggi dalam menempuh proses pembelajaran di menara gading. Pergantungan mutlak mahasiswa kepada nota dan suapan maklumat para pensyarah semata-mata tidak lagi menjamin kejayaan cemerlang akademik mahasiswa. Justeru,  perlunya ada perubahan pendekatan dalam tindak tanduk mahasiswa supaya tidak hanya berjumpa pensyarah untuk menghantar kerja dan tugasan malahan mengambil peluang berjumpa pensyarah untuk bertukar-tukar pandangan dalam membincangkan beberapa isu yang melibatkan soal dasar dan polisi atau melibatkan isu-isu semasa dalam dan luar negara. Selain itu, bahan bacaan mahasiswa perlu menjangkaui ruang lingkup bidang yang dipelajari dan tidak hanya terikat kepada nota-nota kuliah tetapi mahasiswa perlu didedahkan dengan bahan bacaan yang bertemakan falsafah, pemikiran dan karya-karya utama dunia tokoh-tokoh terkenal dunia.

Dalam mendepani realiti semasa yang semakin ruwet dan mencabar memerlukan persediaan dan ketahanan yang ampuh dalam kalangan mahasiswa memandangkan terdapat banyak cabaran dan permasalahan semasa yang menyelubungi dunia hari ini. Sebagai contoh, pertembungan aliran pemikiran, krisis identiti, kecelaruan budaya, dan budaya hedonisme yang membarah merupakan cabaran semasa yang perlu ditangani secara hikmah oleh mahasiswa.

Justeru, mahasiswa perlu untuk menyiapkan diri dengan mengadunkan elemen idealisme, aktivisme, dan Intelektualisme dalam diri masing-masing. Elemen-elemen ini harus diadun secara seimbang, komprehensif  dan bersepadu dalam mendidik dan membangunkan generasi mahasiswa yang diharapkan mampu mewarnai corak kepimpinan negara akan datang.

Idealisme (Ketinggian Pemikiran) merujuk kepada pegangan atau prinsip fundamental yang dihayati lagi diamali. Ia berasaskan kepada dua perkara pokok iaitu Al-Amru bil Makruf atau kecintaan terhadap prinsip kebenaran, keadilan dan keharmonian dan yang kedua ialah Wan Nahyu ‘anil Mungkar atau kebencian terhadap kepalsuan, kezaliman dan kekacauan.

Aktivisme (kesungguhan usaha) pula merujuk kepada keupayaan merealisasikan idealisme melalui tindakan-tindakan yang praktikal. Ia merupakan suatu proses yang harus berlandaskan kepada kebijaksanaan mengolah idea-idea yang bernas dan kewibawaan menterjemah idealisme tersebut dalam aturan hidup secara kemas tanpa menimbulkan riak-riak negatif yang lebih memudaratkan. Melalui aktivisme inilah, akan lahirnya mahasiswa yang berintikan semangat pengorbanan dan perjuangan serta mempunyai nilai-nilai kesukarelaan yang tinggi.

Dalam elemen Intelektualisme (Keluasan Ilmu), ianya tidak hanya merujuk mahupun tergantung kepada kehebatan mahasiswa dalam memperoleh markah yang tinggi dalam peperiksaan  atau mempunyai  angka yang tinggi di dalam sistem CGPA. Elemen intelektualisme ini bukan juga terbangun di atas kecenderungan mahasiswa untuk menjadi ulat buku dengan mengasingkan diri daripada cuba memahami dan menelaah apa yang berlaku di sekelilingnya. Tetapi intelektualisme adalah satu proses penghayatan budaya ilmu melalui olahan idealisme yang dikembangkan dalam bentuk aktiviti-aktivitri yang mampu merangsang pemikiran kreatif dan kritis sehingga berupaya mencetuskan idea-idea baru sekaligus menterjemahkannya ke dalam bentuk tindakan yang praktis.

Akhir kata dari saya, Idealisme, aktivisme, dan intelektualisme gerakan mahasiswa perlu sentiasa dibugar, setidak tidaknya bermula dari sekarang semasa bergelar mahasiswa. Ini kerana, elemen yang dibudayakan ini turut mencakupi latihan kepimpinan, soft-skills dan ilmu-ilmu tambahan yang diperolehi di luar bilik kuliah. Mengambil kata-kata hikmah Almarhum Bapak Nasir mantan Perana Menteri Indonesia, beliau ada menyebutkan bahawa: “Tiada percetakan dalam kepimpinan. (lantaran) pemimpin tidak lahir di bilik kuliah (formal institution) tetapi tumbuh sendiri dalam hempas pulas kancah, muncul di tengah-tengah pengumpulan masalah, menonjol di kalangan rakan seangkatan lalu diterima dan didukung oleh umat.” Maka besar harapan saya supaya misi pembugaran elemen idealisme, aktivisme dan intelektualisme ini akan digalas dengan baik oleh pimpinan PPMU dengan lokalitinya sendiri yakni di Universiti Selangor.


No comments:

Post a Comment