Monday, December 7, 2009

Perihal Tiga Jenis Minda

(sumber: SINAR HARIAN)
norden@sinarharian.com.my



Ketika saya menjadi siswa pada tahun 70an, seorang teman motivator telah menyampaikan sebuah madah yang amat berkesan kepada saya. Madah di dalam bahasa Inggeris itu berbunyi. “Small minds talk about people, average minds talk about issues, big minds talk about ideas.” Terjemahannya ialah, “mereka yang berminda kecil bercakap mengenai manusia, yang berminda sederhana, bercakap tentang isu, yang berminda besar, bercakap tentang idea.”

Beberapa tahun yang lalu, kemudahan Internet mempertemukan saya dengan orang yang mengucapkannya. Orangnya ialah Eleanor Roosevelt, isteri kepada Franklin D. Roosevelt, Presiden Amerika yang ke-32. Di mana dan mengapa Eleanor melahirkan madah itu tidak saya temui. Namun, saya memperoleh satu ilmu untuk mengenal jenis minda manusia.

Memang benar, manusia yang berminda kecil suka bercakap mengenai orang lain. Mereka ini mudah dikenali kerana mereka hidup di dalam paksi dan orbit seharian yang sama. Paksi dan orbit yang serupa ini dilalui hari demi hari, minggu demi minggu, bulan demi bulan dan tahun demi tahun.

Kita lihat manusia tipikal ini melalui tabiat hariannya yang serupa. Setiap hari, dia bangun pagi untuk menggosok gigi dan mandi. Setelah sarapan, dia terus memandu kenderaannya ke pejabat. Pada waktu tengah hari, dia akan keluar makan, kemudian masuk semula ke pejabat untuk meneruskan tugas sebelum pulang tepat pada waktunya.

Sepulangnya di rumah, dia akan bersantai setelah makan malam. Tepat jam 11.00 atau 12.00 malam, dia akan masuk tidur. Pada hari esok, dia akan ulangi apa yang dilalui semalam dengan jayanya. Bukannya susah pun untuk melakukan perkara yang sama berulang-ulang kali.

Putaran hidupnya yang sebegini dilalui sekurang-kurangnya lima hari seminggu. Dua hari lagi pada hujung minggu, tabiatnya berubah sedikit daripada hari-hari bekerja. Namun, jika dilihat tabiat yang dilaluinya untuk hari-hari hujung minggu, ia juga tak ubah daripada hari-hari hujung minggu sebelumnya.

Sungguh malang golongan berminda kecil ini. Oleh kerana telah mangli dengan kehidupannya yang robotik ini, mereka sendiri tidak pernah rasa yang kehidupan yang dilalui begitu menjemukan. Inilah golongan berminda kecil. Mereka hidup di dalam penjara minda masing-masing. Ia adalah kepompong fikiran yang melahirkan manusia berotak beku.

Kita boleh kenali mereka melalui cara pertuturan. Mereka berkata mengenai apa yang yang ramai orang lain tuturkan. Perbualan mereka dipenuhi basa-basi yang sudah basi. Setiap ayat yang ditutur akan disudahi dengan ha-ha-ha, yang bukannya menggambarkan kegembiraan, sebaliknya secara bawah sedar mentertawakan diri mereka sendiri.

Mereka mempunyai banyak masa. Tetapi masa untuk menceritakan mengenai hal orang lain. Kalau mereka bekerja makan gaji, mereka amat menepati masa. Tetapi hanya masa masuk dan keluar pejabat semata-mata. Jika mereka berniaga, mereka makan gaji dengan perniagaan mereka. Ertinya masuk jam 9.00 dan pulang jam 5.00 juga.

Selain daripada bercakap tentang orang lain, mereka mempunyai modal perbualan daripada sebuah sumber yang popular. Segala-galanya ada di layar kaca. Kisah ketamakan si abang terhadap harta pusaka keluarga, kebiadaban anak terhadap si ibu, keganasan rumah tangga, kecurangan suami, penipuan di dalam perniagaan dan permainan kayu tiga, kesemuanya cerita manusia yang dipandang berat oleh mereka.

Bagaimana pula kita mengenali golongan yang berminda sederhana? Mereka adalah golongan yang suka bercakap tentang isu. Pendek kata isu-isu semasa. Apa yang terbit di akhbar hari ini menjadi topik perbincangan mereka. Sama ada isu itu isu nasional, serantau mahupun antarabangsa, ia akan menjadi bahan perbualan, perbincangan dan perdebatan sesama mereka. Rasa prihatin mereka lebih hebat daripada mereka yang terlibat.

Isu-isu alam sekitar juga menjadi perhatian mereka. Daripada masalah bongkah ais yang mencair, kebakaran hutan, taufan, rebut, tsunami dan peperangan kesemuanya menjadi masalah yang mencabar minda mereka. Dahi mereka berkerut, mata mereka mencerlang, bibir mereka diketap kerana geram bila melihat kapal terbang menggugurkan bom lalu membunuh mereka yang tidak berdosa. Mereka simpati dan juga empati. Malangnya, kesemua itu mereka saksikan melalui TV sambil menggoyang kaki dan mengunyah keropok.

Golongan yang berminda besar pula sukar ditemui kerana tidak ramai yang tampil bercakap mengenai idea. Ramai orang boleh bercakap mengenai masalah polarisasi kaum, tetapi nampaknya tak ramai yang boleh mengutarakan idea-idea untuk melestarikan toleransi di antara kaum? Ramai yang boleh berhujah mengenai peri pentingnya kita kurangkan berpolitik, tetapi tak ramai yang bercakap tentang mengapa kita patut mengurangkan berpolitik? Ramai yang tahu bahaya obesiti, tetapi berapa ramaikah yang berani memperkatakan tentang tubuh yang sasa mahupun ramping kerana berdiet?

Namun, golongan yang berminda besar ini sebenarnya ramai. Kitalah mereka yang berminda besar ini! Kenapa kita tidak sedar akan golongan ini sedangkan mereka adalah kita? Ia adalah kerana, fikiran kita yang besar dan hebat ini telah dikaburi dengan herd mentality atau mentaliti ikut-ikutan. Tidak ramai yang berfikiran sebagai pembawa perubahan dan pembaharuan sedangkan inilah golongan yang teramai.

Kita berasa golongan berminda besar ini kecil kerana kita adalah silent majority atau majoriti yang senyap. Sepatutnya kita yang ramai ini menjadi 'the noisy majority' atau golongan majoriti yang riuh.

Andainya kita berani bersuara dan tidak malu bertempat, banyak sekali idea-idea kita yang boleh dilahirkan untuk mensejahterakan masyarakat dan dunia. Masalahnya, siapakah di antara kita yang berminda besar untuk memulakan gagasan the noisy majority ini?

No comments:

Post a Comment