Sunday, July 19, 2009

Novel Harry Potter



Selesai sudah pengembaraan selama 9 tahun bersama pemuda berkaca mata bulat. Walaupun si pemuda tersebut hanyalah khayalan tetapi diri ini tidak dapat menafikan lagi sumbangan beliau sepanjang diri ini membesar menjadi manusia dewasa.
Ya, Harry Potter merupakan watak yang telah 'menemani' saya semenjak berumur 13 tahun lagi. Bermula dengan hadiah hari lahir yang ibu berikan, siri novel Harry Potter telah membentuk daya imaginasi dan juga daya faham bahasa inggeris secara signifikan dalam hidup saya.
Siapa sangka manuskrip novel J. K Rowling yang pada mulanya telah ditolak oleh 12 syarikat penerbitan buku di United Kingdom ini menjadi satu fenomena yang global sifatnya yang memberi dampak besar kepada jutaan pembaca cilik dan dewasa, termasuklah kepada diri blogger rausyanfikir.com ini?


Setelah selesai menonton filem Harry Potter and the Half Blood Prince (yang mana novelnya sudah dibeli tetapi hanya mampu menjamah 1/4 daripada keseluruhan kandungan) pada Khamis minggu lepas, selama 3 hari ini saya telah bertungkus-lumus mengkhatamkan novel terakhir; Harry Potter and the Deathly Hallows yang telah saya mulakan sesi pembacaan pada awal bulan Jun yang lalu.
Pada hari ini, sekitar jam 10.30 pagi dalam perjalanan ke kampus saya telah menamatkan pengembaraan tersebut dengan penuh kepuasan. Walaupun novel terakhir ini saya telah membelinya lebih kurang setahun yang lepas tetapi dek kekangan masa terpaksa saya abaikan berhabuk di atas rak buku.
Entah mengapa, diri ini rasa terpanggil untuk membaca kembali novel Harry Potter tersebut. Mungkin saya terasa ilmu retorika dalam bahasa inggeris yang saya miliki semakin menumpul di samping bahang filem Half Blood Prince yang semakin hampir.
Selain daripada siri novel Dan Brown, dan R. L Stine, karya J.K Rowling benar-benar meninggalkan kesan kepada diri saya dalam proses menjadi lelaki dewasa.
Saya tahu dari awal lagi kalau hendak benar-benar menguasai bahasa inggeris, aktiviti membaca novel tidak dapat tidak, WAJIB dilakukan dengan penuh konsisten dan bersungguh-sungguh. Siri novel Harry Potter bukan sahaja banyak membantu saya mempertajamkan daya faham bahasa inggeris malah selain daripada bahan bacaan santai, saya turut sama mempelajari banyak perkara yang Harry dan rakan-rakan beliau tempuhi sepanjang siri tersebut berlangsung.
Saya bukanlah die hard fan Harry Potter tetapi Harry mendapat tempat istimewa dalam korpus pembacaan bahasa inggeris saya. 'Ketagihan' itu tetap ada kerana saya masih ingat ketika tingkatan 4, kerana ingin pulun untuk tamatkan novel keempat J. K Rowling itu, Harry Potter and the Goblet of Fire dalam masa 2 minggu, saya sanggup ponteng sesi baca Yaasin pada malam Jumaat di Sekolah Menengah Sains Selangor. Dengan bertemankan lampu koridor yang malap, saya bersandar di sebalik almari besi untuk mengelak daripada dikesan ustaz yang membuat rondaan di asrama. Dahlah saya seorang pengawas. Masa tu masih rock steady lagi. Walaupun bermain ragbi untuk Kuala Lumpur semenjak tingkatan 3, saya masih tidak rasa janggal untuk membaca novel seperti Harry Potter walaupun rakan sepasukan lain lebih suka bahan bacaan seperti Kreko, dan Gempaq.
Sekarang, setelah bergelumang dengan dunia aktivisme dan falsafah, cara gaya saya membaca dan memahami Harry Potter menjadi lebih kritis dan mendalam. Saya dapat kesan semangat ketamadunan Barat yang termuat dengan halus dalam karya J. K Rowling ini. Seperti contoh, saya rasa sepanjang saya membaca kesemua novel Harry Potter, konsep Ketuhanan tidak pernah diserlahkan dengan baik. Semangat humanisme itupun disadur dengan baik dengan tema-tema kemanusian seperti cinta, semangat setia kawan, kekeluargaan dan lain-lain lagi. Patutlah sesetegah pihak gereja di Barat sangat anti dengan siri novel Harry Potter kerana bagi mereka, Harry Potter dan seisi jalan ceritanya membawa mesej sekularisme dan paganisme secara halus ke dalam benak pemikiran kanak-kanak di Barat.
Lain pula kalau kita baca siri The Chronicles of Narnia oleh C.S Lewis yang sarat dengan tema agama Kristian.

Walaubagaimanapun, saya tidak pernah pula hanyut seperti kanak-kanak dan remaja Barat yang benar-benar menjadi Potter mania. Bagi saya, Harry Potter hanyalah watak dalam karya J. K Rowling. Tidak pernah pula saya angkat beliau jadi idola saya.


Saya amat gembira dan terharu secara peribadi kerana telah menamatkan pengembaraan yang panjang ini. 9 tahun yang lama ini benar-benar telah banyak mengasah daya faham bahasa inggeris saya yang akhirnya saya gunakan untuk menelaah karya-karya berat falsafah Barat dan Islam, khususnya karya Prof. al-Attas.


Pengembaraan saya seterusnya mungkin terhad kepada karya-karya non-fiksyen tetapi sekali sekala perlu juga membaca karya-karya fiksyen yang santai untuk faham 'semangat Barat' yang terselit di celah-celah plot cerita fiksyen tersebut disamping memperbaiki mutu daya faham bahasa inggeris.


Anda bagaimana? Ada siri pengembaraan yang sama seperti saya? Kalau belum, rajin-rajinlah asah daya faham bahasa inggeris anda dengan karya-karya bermutu seperti Harry Potter ini!

Diambil dari ulasan
http://rausyanfikir.com
Aku dan Harry Potter

No comments:

Post a Comment